Usaha Anda Bagi Meningkatkan Tahap Profesionalisme
”There exists limitless opportunities in every
industry.
Where there is an open mind, there
will always be a frontier”
Charles
F. Kiettering
(1876 – 1958)
(Wujudnya
peluang-peluang yang terbentang luas dalam setiap industri. Di mana adanya minda terbuka, di situ hadirnya sempadan baru)
Sebagai seorang guru, saya berpegang kuat
kepada idea bahawa seseorang guru perlu mempunyai minda terbuka supaya dapat
menerokai sempadan-sempadan baru dan meningkatkan tahap professionalismenya.
Hal ini adalah kerana setiap guru mempunyai kuasa untuk mempengaruhi pelajar
dan mereka perlu bersedia dengan pengetahuan dan kemahiran untuk mewujudkan
minda kelas pertama dalam kalangan generasi baru negara ini. Ke arah memastikan
bahawa minda saya sentiasa terbuka kepada idea-idea dan pengetahuan baru dan
terkini, amalan pembelajaran sepanjang hayat sentiasa menjadi budaya kerja dan
amalan hidup saya
Gambar Hiasan : Guru-guru Koperasi SMK Baru Sedang bermesyuarat, mencari idea bernas untuk meningkatkan prestasi Koperasi |
Saya percaya bahawa persediaan ke arah menjadi
seorang guru yang cemerlang dan berkesan dari semua segi tidak hanya bermula
dan berakhir dengan latihan yang saya terima dari kursus perguruan di
universiti. Pengalaman saya sebelum saya mengambil kursus perguruan tersebut memang
mempengaruhi persediaan saya melangkah ke dalam bidang perguruan tetapi yang
lebih penting, adalah kesudian untuk sentiasa menganggap semua situasi dan
pengalaman baru yang saya alami dalam kehidupan, samada baik atau buruk, adalah
peluang untuk saya terus belajar dan meningkatkan tahap profesionalisme dan kemahiran saya sebagai seorang guru. Saya
juga berpendapat bahawa keghairahan yang saya rasa terhadap kerjaya saya sebagai seorang guru
mempengaruhi saya supaya sentiasa berinvosi untuk mencari idea-idea yang boleh
digunakan di dalam bilik darjah untuk meningkatkan tahap keberkesanan proses
pengajaran dan pembelajaran. Saya sentiasa cuba
berfikir di luar kotak untuk idea-idea yang lebih kreatif bagi
menghasilkan keadah dan pendekatan baru yang boleh membantu membentuk akhlak
mulia dan melengkapkan pelajar dengan keupayaan berfikir secara kritis,
kebijaksanaan menyelesaikan masalah dan daya kreativiti yang tinggi.
Gambar Hiasan : Surat Khabar sebagai bahan bacaan selain buku-buku ilmiah |
Dengan itu saya sentiasa berusaha untuk
meningkatkan pengetahuan saya dalam semua bidang, khususnya dalam bidang
pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris. Perkara ini dilakukan dengan mengamalkan
tabiat membaca. Bahan bacaan saya adalah luas, contohnya surat khabar, jurnal
ilmiah MELTA (Malaysian English Language Teaching Association) yang mempunyai
idea-idea baru berkenaan dengan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris
serta hasil kajian-kajian yang berkaitan, majalah seperti the BBC Knowledge
Magazine, The National Geographic dan The Times Magazine, selain maklumat yang
diakses melalui internet. Antara sumber Internet yang saya sentiasa gunakan
adalah Portal Guru Sarawak, Engkabang.net. Saya sering muat turun maklumat dan
juga muat naik modul pengajaran dan pembelajaran yang dibina sendiri. Saya juga
cuba menambahkan pengetahuan dan kemahiran dalam bidang Bahasa Inggeris dengan
melayari laman web yang berkaitan dengan kemahiran menulis dan membaca serta
membaca atas talian penulisan ilmiah dan rencana-rencana dari buku, surat khabar
dan juga jurnal.
Gambar hiasan.. |
Melalui tabiat membaca ini, saya dapat membina
lagi pengetahuan diri saya tentang Bahasa Inggeris dan meningkatkan lagi
penguasaan saya dalam Bahasa Inggeris selain mengikut perkembangan baru dalam
penggunaan Bahasa Inggeris dalam dunia moden. Hal ini adalah penting kerana
saya perlu dapat menyediakan pelajar untuk menghadapi cabaran dunia sebenar apabila
mereka keluar dari alam sekolah dan masuk ke arena kerja. Istilah-istilah baru
diperkembangkan tiap-tiap hari terutama dalam dunia internet dan seorang guru
yang tidak dapat berhadapan dengan perubahan dalam bidang kepakarannya, tidak akan
dapat membantu pelajarnya membuat persediaan yang lengkap untuk masa hadapan
mereka sekiranya tandus maklumat ini.
Cg Naomi sedang memimpin guru-guru menyanyi lagu tema hari guru 2012 |
Saya juga menganggap kewajipan saya sebagai
seorang guru adalah untuk bertindak sebagai seorang pakar rujuk dan fasilitator
kepada pelajar. Dengan itu, pengetahuan baru yang saya dapat dari tabiat membaca
itu saya dapat diserapkan dalam pengajaran dan pembelajaran untuk mendedahkan
pelajar kepada pengetahuan baru dan isu-isu semasa. Amalan membaca sambil
meningkatkan pengetahuan juga menjadi teladan dan galakan kepada pelajar saya.
Saya berkongsi majalah yang dibeli untuk dibaca oleh pelajar di sudut membaca kelas
dan tajuk-tajuk tertentu dijadikan bahan perbincangan sewaktu proses pengajaran
dan pembelanjaran, terutamanya dalam kelas MUET. Surat khabar juga merupakan
satu sumber maklumat yang banyak digunakan untuk menghasilkan Modul
pembelajaran dan pengajaran yang mengandungi maklumat semasa yang relevan
kepada pelajar.
Di samping itu, saya juga menyediakan dan
meningkatkan diri saya sebagai seorang guru Bahasa Inggeris yang berkesan
melalui jaringan komunikasi (networking) yang luas dalam kalangan guru Bahasa
Inggeris dan Guru Cemerlang yang lain. Selepas berkhidmat selama lebih 25 tahun
di empat buah sekolah, saya mempunyai jaringan rakan kerja guru yang senior dan
berpengalaman yang merupakan pakar dalam bidang-bidang mereka sendiri. Kami
sentiasa berkongsi pengalaman dan memberi sokongan antara satu sama lain supaya
sentiasa peka terhadap perkembangan kurikulum dan kokurikulum yang terkini
serta sentiasa meningkatkan pengetahuan dan tahap professionalisme diri.
Rakan-rakan guru juga merupakan aset penting dalam membina kerjaya |
Selain itu, pengalaman saya sebagai Ketua
Pemeriksa untuk kertas MUET Speaking
sejak 2003 dan kertas MUET Writing pada
tahun 2009 membantu saya mengetahui tentang perkembangan terbaru dalam proses
penilaian. Saya juga sentiasa cuba mendapat maklumat terkini tentang
perkembangan terbaru dalam penilaian kertas Writing
melalui kursus dan dari pemeriksa yang berpengalaman. Proses ‘Networking’ dengan guru-guru Bahasa Inggeris yang lain
membolehkan saya mendapat panduan terkini tentang penilaian Bahasa Inggeris pada
peringkat PMR, SPM, MUET serta untuk Ujian dan Penilian Lisan Berasaskan
Sekolah.
Saya juga kerap kali menghadiri sesi latihan dalam
perkhidmatan, kursus atau bengkel yang dianjuran oleh pihak sekolah, Jabatan
Pelajaran, Kementerian Pelajaran atau pun pihak swasta, terutamanya kursus yang
berkaitan dengan bidang kepakaran saya supaya dapat pendedahan kepada bahan
yang relevan dan terkini. Penyertaan saya dalam persidangan, bengkel dan kursus
yang dikelolakan oleh pihak swasta biasanya adalah atas inisiatif dan kos
sendiri. Sebagai contohnya saya telah
menghadiri beberapa kursus dan persidangan Bahasa Inggeris yang dianjurkan
oleh MELTA, Bengkel IELTS (Intenationl English Language Testing System) anjuran
the British Council, Bengkel Koir anjuran the Miri Orchestra and Choir Society
dan juga Persidangan NIE (Newspaper in Education) anjuran The New Straits Times
di Kuala Lumpur.
Guru yang hebat akan melahirkan ramai pelajar yang cemerlang |
Pengalaman saya sebagai Jurulatih Utama (JU) untuk
Kursus-kursus ETeMS semenjak 2002 dan JU Negeri Sistem Bimbingan Taulan dan English for Mathematics and Science (EMS)
semenjak 2007 juga telah membantu saya meningkatkan profesionalisme diri
sebagai seorang jurulatih dan fasilitator di samping memberi saya peluang
meningkatkan kemahiran komputer. Saya juga telah berusaha untuk menyumbang
tenaga dan pengalaman ke arah meningkatkan profesionalisme guru-guru lain. Saya
telah dijemput sebagai fasilitator dan penceramah untuk Sesi Peningkatan
Prestasi guru Bahasa Inggeris dan guru MUET di beberapa buah sekolah di Miri.
Selain itu, saya juga telah dipertanggungjawabkan oleh Pejabat Pelajaran Daerah
Miri untuk menggalas tugas sebagai fasilitator dan penceramah kursus dan
bengkel Bahasa Inggeris untuk guru-guru sekolah menengah di bahagian ini. Saya
percaya bahawa proses membuat penyelidikan dan persediaan semasa membina bahan
untuk bertugas sebagai seorang penceramah, juga membantu saya memahami bidang
kepakaran saya dengan lebih mendalam dan membantu meningkatkan tahap
profesionalisme dalam bidang kepakaran saya.
Gambar Hiasan : Sumber - Google : Tun Mahathir , Mantan PM Malaysia yang mempunyai idea dan pandangan yang sangat hebat. |
Mantan
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah berkata semasa menyampaikan
syarahan perdana “Transformasi Minda Penyelidik Muda” di University Teknologi
MARA baru-baru ini, bahawa para penyelidik muda perlu mempunyai minda terbuka
yang sentiasa mahu memperbaiki hasil penyelidikan atau ciptaan mereka dari
semasa ke semasa dan tidak mudah berpuas hati dengan pencapaian yang mereka
perolehi. Sebagai seorang guru yang dipertanggungjawabkan untuk menghasilkan
“penyelidik muda” yang akan menjana perkembangan Negara Malaysia, kewajiban
saya adalah untuk sentiasa berusaha bagi mentransformasikan minda diri saya
sendiri dalam usaha meningkatkan tahap profesionalisme diri dan menjadi teladan
kepada generasi muda.
Terima kasih Cikgu..
Pengetua.