Our social:

Khamis, Jun 14, 2012

Harapan Dan Wawasan Guru Cemerlang



NAOMI RANJITHAM A/P K. JAMBUNATHAN
Esei di bawah adalah Esei ke 2, hasil tulisan Cg Naomi Ranjitham A/P K.Jambunathan untuk melayakkan beliau mengisi borang kenaikan pangkat baru-baru ini, Terima kasih kepada beliau kerana sudi berkongsi dengan rakan-rakan guru di dalam blog sekolah ini. Selamat Membaca..

“Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara” merupakan tema hari Guru tahun 2012. Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia dalam perutusan Hari Guru telah menyatakan bahawa sebagai golongan professional yang menjana dan menjuarai perubahan, warga guru perlu peka dan bersedia untuk melengkapkan diri menjadi guru yang inovatif supaya berupaya menjana idea, konsep atau strategi baru yang boleh mempertingkat amalan berkesan dalam menyampaikan ilmu kepada generasi anak didik. Menurut beliau, guru yang inovatif juga berkemampuan mencipta kelainan atau modifikasi menggunakan unsur dan sumber sedia ada serta menjelmakannya sebagai elemen sintesis yang memudah dan melancarkan proses pengajaran dan pembelajaran. Selain itu, seorang guru inovatif juga mempunyai tahap ketekunan yang tinggi, belajar daripada kesilapan, menyusun dan mengurus idea secara perekodan sistematik serta sentiasa cenderung mendapatkan pengetahuan baharu. Natijah yang akan dihasilkan ialah modal insan yang berpengetahuan dan bermaklumat serta berinovatif dalam memajukan teknologi, berkebolehan mencerna dan mengadaptasikan teknologi dan seterusnya berupaya mengembangkan idea-idea. Harapan dan wawasan saya adalah untuk memenuhi seruan tersebut kerana apa yang diperkatakan oleh Ketua Pengarah dalam ucapan beliau adalah merupakan falsafah hidup saya yang sentiasa mempengaruhi budaya kerja dan amalan hidup saya sebagai seorang guru.

Sumber : Google. Abangshah.com
            Berdasarkan konsep guru cemerlang, seorang guru cemerlang ditakrifkan sebagai seorang guru istimewa, dedikasi dan bermotivasi, yang mempunyai kemahiran dan kepakaran yang tinggi dalam bidang tugasnya, hasil dairpada himpunan pelbagai pengetahuan dan pengalaman yang luas dan berterusan pada sepanjang tempoh perkhidmatannya.  Saya berasa sangat puas dan bertuah kerana telah diberi peluang bertugas sebagai seorang Jurulatih Negeri semenjak 2002 dan seorang Guru Cemerlang semenjak 2010 kerana saya mempunyai keinginan kuat untuk mengkongsikan pengalaman dan pengetahuan saya yang luas dan, yang lebih penting, untuk menginspirasikan guru-guru lain dengan keghairahan yang saya rasa terhadap  kerjaya saya sebagai seorang guru.
           
            Saya juga berpegang kuat kepada kepercayaan bahawa tanggungjawab utama seorang guru adalah untuk membentuk modal insan yang seimbang dan sempurna, berpersonaliti unggul, berfikiran dan berbudaya kelas pertama yang “menguasai ilmu dan kemahiran tinggi, menjunjung nilai budaya bangsa,  memiliki semangat patriotisme yang utuh, mempunyai daya saing yang tinggi dan berwibawa” (Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006-2010).  Sebagai seorang Guru Cemerlang saya ingin memastikan bahawa saya sentiasa melaksanakan amanah yang diberi penuh dedikasi, bertunjangkan integriti dan berlandaskan etika perkhidmatan ke arah mewujudkan modal insan yang unggul. Budaya kerja saya mesti dapat diteladani oleh rakan sekerja  dan juga para pelajar.

Sumber : Google. Gambar Hiasan..
            Saya percaya bahawa sekolah merupakan institusi yang paling ideal dan penting untuk melahirkan modal insan yang dihasratkan oleh Falsafah Pendidikan Kebangsaan, yang menekankan pentingnya pendidikan dan pembinaan insan yang holistik dan menyeluruh, merangkumi aspek intelek, emosi, jasmani dan rohani dalam domain kognitif, afektif dan psaikomotor. Sekolah merupakan sebuah masyarakat kecil di mana nilai-nilai dan ciri-ciri kemanusiaan yang baik boleh dipupuk dan diterapkan dalam kalangan pelajar bak kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya. Institusi sekolah seolah-olah satu mikrokosma kehidupan masyarakat Malaysia di mana setiap anggota sekolah mempunyai peranan-peranan yang ditetapkan dan saling berkait. Mereka berinteraksi dan aktiviti-aktiviti diaturkan mengikut budaya dan peraturan-peraturan sekolah. Sebagai seorang Guru Cemerlang peranan saya adalah untuk memimpin dan membimbing warga sekolah serta menyumbang tenaga ke arah mencapai hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan tersebut melalui program-program dan budaya sekolah yang sihat dan kondusif.            

            Sehubungan dengan itu, sejak 2004 saya telah merancang, mengendalikan dan menyeliakan Program Tiga M (PROTIM) di sekolah saya untuk memastikan pelajar tingkatan satu yang buta huruf dan buta angka tidak ketinggalkan dalam pelajaran. Di bawah program tersebut, setiap orang guru dipertanggungjawabkan mengajar Kelas PROTIM sekurang-kurangnya sekali seminggu untuk memastikan pelajar yang lemah diberi sokongan yang cukup untuk membantu mereka mengatasi kelemahan dan masuk dalam aliran utama dalam satu masa yang singkat. Harapan saya adalah semoga program ini akan memastikan setiap pelajar di sekolah saya apabila menamatkan pelajaran mereka selepas tingkatan lima mempunyai kemahiran dan pengetahuan yang cukup untuk menghadapi cabaran dunia kerja dan menyumbang kepada pembangunan negara.

Cg Naomi bersama rakan-rakan guru yang lain menyertai koir hari guru
            Dalam bidang kepakaran saya, Bahasa Inggeris, saya sentiasa berusaha untuk memastikan pelajar diberi kemahiran-kemahiran yang membolehkan mereka menguruskan perkembangan diri mereka sendiri dalam penguasaan Bahasa Inggeris. (Enabling skills) Sebagai contohnya, saya sentiasa mementingkan penggunaan kamus, khasnya penggunaan simbol-simbol fonetik yang membolehkan mereka memastikan sebutan mereka adalah tepat. Harapan saya adalah apabila mereka masuk ke arena kerja sebagai pakar dalam bidang-bidang sendiri, mereka akan dapat menggunakan Bahasa Inggeris yang tepat pada tahap yang tinggi dan akan dapat memberi imej yang baik kepada orang lain. Saya juga telah diberi peluang untuk menjalankan bengkel dan ceramah untuk pelajar-pelajar di sekolah lain di Miri. Hal ini adalah antara pengalaman yang sangat memuaskan untuk saya kerana dapat menyumbang kepada perkembangan dan kejayaan generasi muda.

            Saya juga berhasrat membantu guru sekolah saya dan juga guru dari sekolah-sekolah lain untuk meningkatkan kebolehan menggunakan Bahasa Inggeris dengan yakin dan tepat dan juga menggunakan kaedah-keadah mengajar yang menarik, berinovatif dan berkesan. Saya telah menjalankan beberapa Bengkel bekenaan dengan sebuatan Bahasa Inggeris untuk guru-guru Matematik dan Sains di bahagian Miri. Selain itu saya telah juga menjalankan sesi peningkatkan prestasi guru Bahasa Inggeris dan guru MUET di beberapa buah sekolah di Miri dan telah berkongsi inovasi pengajaran dan pelajaran yang saya telah hasilkan. Saya telah juga memuat naik modul pengajaran yang dibina sendiri untuk dikongsikan dengan guru-guru melalui Portal Guru Sarawak, Engkabang.net. Saya sangat-sangat ingin terus berkhidmat sebagai seorang penceramah kerana dengan membantu guru-guru Bahasa Inggeris yang lain, saya juga dapat membawa kesan positif ke atas prestasi pelajar secara tidak langsung.

Timbalan Perdana Menteri Merangkap Menteri Pelajaran
Menteri Pelajaran Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semasa berucap pada majlis pelancaran perayaan Hari Guru Kebangsaan ke-41 tahun ini, telah mengajak guru supaya sentiasa berfikir di luar kotak untuk menjadi kumpulan berinovasi bagi mendepani cabaran besar era globalisasi yang berkembang berteraskan ilmu dan inovasi. Sebagai seorang Guru Cemerlang saya menganggap seruan ini sebagai satu cabaran kepada saya untuk terus meningkatkan kemahiran saya sendiri dan juga untuk membantu guru lain mentransformasikan diri mereka menjadi guru “inovatif, proaktif, berdedikasi dan berdaya saing.”(Perutusan Hari Guru 2012
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia)


Terima kasih Cikgu..

Pengetua.