PELAN PEMBANGUNAN PENDIDIKAN MALAYSIA 2013-2025
Khusus kepada semua guru SMK Baru Miri. Sama-sama Kita Dalami Ilmu Pengetahuan..Written by MOHD RAFIZI B YUSOF - (EIO) | ||||||||||||
Friday, 14 September 2012 11:30 |
Sistem pendidikan di Malaysia telah
menempa banyak kemajuan sepanjang lebih lima dekad yang lalu. Hasil
daripada Laporan Razak (1956), kemudiannya Laporan Rahman Talib (1960),
Laporan Jawatankuasa Kabinet (1979), penggubalan Akta Pendidikan 1996,
sehinggalah yang terakhir Pelan Induk Pembangunan Pendidikan
(2006-2010), sistem pendidikan kita telah mencatat beberapa kejayaan
yang membanggakan.
Enrolmen murid pada peringkat pendidikan
rendah, termasuk di sekolah swasta, telah mencapai tahap hampir
sejagat, iaitu 96 peratus (%) berbanding hanya 40% pada tahun 1950.
Kadar enrolmen pada peringkat menengah rendah pula telah mencapai 91%,
dan menengah atas 82%. Peningkatan yang signifikan dalam enrolmen
disusuli oleh peningkatan dalam pencapaian murid. Kadar literasi remaja
telah meningkat daripada 88% pada tahun 1990 kepada kadar hampir sejagat
sebanyak 99% masa kini. Kadar literasi dewasa juga telah meningkat
secara mendadak, iaitu daripada 52% semasa negara mencapai kemerdekaan
kepada 93% pada tahun 2010. Kesemua pencapaian ini amat membanggakan
kita.
Kerajaan juga telah memperuntukkan
secara tekal sebanyak 16% daripada bajet negara setiap tahun untuk
Kementerian Pelajaran. Pelaburan yang besar telah dibuat dalam latihan
guru, emolumen dan pembinaan infrastruktur serta kemudahan asas
pendidikan yang telah berhasil meningkatkan penyertaan murid pada
peringkat pendidikan rendah dan menengah, termasuk di kawasan luar
bandar dan pedalaman. Hasilnya, jurang pencapaian antara sekolah bandar
dan luar bandar telah berkurangan. Dalam peperiksaan UPSR, jurang
pencapaian murid bandar dan luar bandar telah berkurangan daripada 8%
pada tahun 2005 kepada 4% pada tahun 2011.
Mutakhir ini, berkat usaha gigih warga
pendidik dan kerajaan melaksanakan pelbagai inisiatif di bawah Bidang
Keberhasilan Utama Negara bagi sektor pendidikan, enrolmen murid
prasekolah juga telah berjaya ditingkatkan daripada 67% pada tahun 2009
kepada 77% pada tahun 2011. Penguasaan Literasi dan Numerasi murid juga
telah menunjukkan pencapaian yang memberangsangkan. Berdasarkan
keputusan ujian LINUS 2011, kadar literasi murid kohort Tahun1 telah
meningkat daripada 87% pada tahun 2010, kepada 95% apabila mereka berada
di Tahun 2 pada tahun 2011. Begitu juga dengan kadar numerasi murid
kohort yang sama telah meningkat daripada 87% pada tahun 2010 kepada 97%
pada tahun 2011.
Semua kejayaan ini adalah hasil komitmen
dan usaha gigih para guru, ibu bapa, anggota masyarakat dan kerajaan
untuk meningkatkan pencapaian murid di negara kita. Namun, di sebalik
lakaran kejayaan ini, masih banyak lagi yang perlu kita capai. Ketika
sistem pendidikan kita menempa beberapa kemajuan penting sepanjang lebih
lima dekad yang lalu, sistem pendidikan di negara-negara lain juga
telah bergerak pantas dalam perlumbaan untuk menjadi sistem yang terbaik
di dunia.
Dalam persaingan global yang semakin sengit ini, negara kita perlu bergerak lebih pantas ke hadapan. Walau bagaimanapun, pentaksiran pada peringkat antarabangsa menunjukkan pencapaian murid kita dalam beberapa bidang penting seperti Bacaan, Matematik dan Sains masih rendah berbanding murid di negara-negara maju. Misalnya, daripada 74 buah negara yang mengambil bahagian dalam ujian Programme for International Student Assessment atau PISA 2009, murid Malaysia berada di tempat sepertiga terbawah bagi Bacaan, Matematik dan Sains.
Hal ini perlu diatasi segera sekiranya
negara kita ingin mengorak langkah lebih pantas dalam perlumbaan menuju
negara maju. Tidak ada jalan pintas untuk kita melakukannya. Tidak ada
tongkat ajaib yang boleh menjelmakan hasil yang terbaik dalam sekelip
mata. Sebaliknya, kita perlu akur dengan realiti semasa, jujur melakukan
pembetulan dan mengambil langkah berani untuk melonjakkan prestasi
pendidikan negara.
PENYEDIAAN PELAN PEMBANGUNAN PENDIDIKAN, 2013-2025
Bertitik tolak daripada kesedaran ini,
Kementerian Pelajaran telah memulakan usaha mengkaji semula sistem
pendidikan negara pada bulan Oktober 2011. Panel Dialog Nasional
Pendidikan Negara telah dibentuk untuk mengumpul pandangan masyarakat
umum mengenai langkah-langkah yang perlu diambil oleh kerajaan untuk
meningkatkan kualiti pendidikan. Menerusi satu siri jelajah dialog
pendidikan yang diadakan di seluruh negara, sebanyak 7,039 syor telah
diterima daripada hampir 12,000 orang peserta yang mengambil bahagian.
Kementerian juga telah menerima 156 memorandum daripada pelbagai
pertubuhan dan individu. Selain itu, pandangan daripada Panel Penilai
Bebas Malaysia dan Antarabangsa telah diperolehi dalam menyediakan
Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan. Kementerian juga telah
mendapatkan input daripada kajian-kajian yang dilakukan oleh UNESCO,
OECD, Bank Dunia dan Institusi-Institusi Pendidikan Tinggi Awam
tempatan.
Hari ini, ketika kita masih lagi dalam
semangat sambutan ulang tahun kemerderkaan negara yang ke-55, tercatat
satu lagi peristiwa penting dalam lembaran sejarah negara kita. Laporan
Awal Pelan Pembangunan Pendidikan yang akan memacu pendidikan negara ke
arah pendidikan yang berkualiti dan bertaraf antarabangsa. Pelan ini
tidak ubah seperti satu referendum bersejarah yang melambangkan
cita-cita dan pengharapan rakyat terhadap sistem pendidikan negara.
MATLAMAT DAN PENDEKATAN
Kementerian Pelajaran akan mengorak langkah dalam menghasilkan suatu sistem pendidikan negara yang berteraskan lima ciri aspirasi utama iaitu akses, kualiti, ekuiti, perpaduan dan kecekapan. Di samping itu, pada peringkat murid-murid pula, pelan ini menyasarkan 6 ciri aspirasi utama iaitu pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran dwibahasa, etika dan kerohanian, serta identiti nasional.
Dalam merangka Pelan ini, 9 bidang keutamaan yang dikenal pasti hasil daripada Laporan Penilaian Pendidikan Negara telah diperhalusi. Sembilan perkara tersebut ialah:
* Pertama, memartabatkan profesion keguruan;
* Kedua, meningkatkan kualiti kepimpinan sekolah;
* Ketiga, meningkatkan kualiti sekolah;
* Keempat, memantapkan kualiti kurikulum dan pentaksiran;
* Kelima, meningkatkan penguasaan pelbagai bahasa;
* Keenam, mengukuhkan pelibatan ibu bapa, sektor swasta dan masyarakat sebagai rakan kongsi dalam pendidikan;
* Ketujuh, meningkatkan kesediaan murid untuk merebut peluang dalam pendidikan tinggi dan pasaran kerja;
* Kelapan, memperbaiki kecekapan dan keberkesanan pengurusan sumber; dan
* Kesembilan, membina kemampuan serta keupayaan sistem penyampaian pendidikan.
Daripada keseluruhan 9 bidang keutamaan
ini, Kementerian telah mengenal pasti 11 anjakan yang perlu dilakukan
bagi menghasilkan perubahan yang diingini oleh seluruh rakyat Malaysia.
Sebahagian daripada anjakan ini merupakan perubahan strategi dan hala
tuju pendidikan, manakala anjakan yang lain merupakan perubahan operasi
yang telah dan sedang dilaksanakan. Sama ada perubahan bersifat strategi
atau operasi, semuanya menggambarkan perubahan amalan semasa.
11 ANJAKAN
ANJAKAN PERTAMA (1)
ialah Menyediakan Kesamarataan Akses Kepada Pendidikan Berkualiti
Bertaraf Antarabangsa. Hakikatnya, hari ini, murid dikatakan telah
berjaya menguasai ilmu apabila mereka berupaya menganalisa maklumat,
berfikir secara kritis, mengaplikasi ilmu secara kreatif dan
berkomunikasi dengan berkesan. Inilah ciri-ciri kemahiran berfikir aras
tinggi yang telah pun dimiliki oleh murid di negara-negara maju.
Sehubungan dengan itu, Kementerian akan
melancarkan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) dan Kurikulum
Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang disemak semula pada tahun 2017.
Kementerian juga akan menimbang pindaan kepada peraturan sedia ada untuk
memberikan kelonggaran kepada sekolah mengamalkan jadual anjal selagi
sekolah boleh menyampaikan hasil pembelajaran dan kandungan yang
digariskan dalam kurikulum.
Seiring dengan pelaksanaan kurikulum
baharu ini, kementerian akan mengkaji kemungkinan melaksanakan laluan
pembelajaran pintas selain pendidikan arus perdana. Ini termasuklah
membenarkan murid berpencapaian tinggi menamatkan pengajian sekolah
menengah dalam masa empat tahun berbanding lima tahun sekarang, dan
menamatkan sekolah rendah dalam masa lima tahun berbanding enam tahun.
Selanjutnya, peperiksaan dan pentaksiran kebangsaan akan dirombak untuk meningkatkan tumpuan terhadap kemahiran berfikir aras tinggi, seiring dengan pelaksanaan kurikulum baharu. Sebagai contoh menjelang tahun 2016, peperiksaan UPSR akan mengandungi 80 peratus soalan berbentuk pemikiran aras tinggi.
Selain itu, tempoh pendidikan wajib juga
akan dilanjutkan daripada 6 tahun sekarang kepada 11 tahun, dengan
disokong oleh pelbagai inisiatif untuk mengekalkan murid dalam sistem
pendidikan, termasuk memperluaskan laluan pendidikan dan latihan teknik
dan vokasional.
Untuk menjamin akses pendidikan
berkualiti dan bertaraf antarabangsa kepada semua murid, kerajaan akan
meningkatkan pelaburan bagi sumber fizikal dan pengajaran kepada murid
dengan keperluan khusus. Murid Orang Asli dan kumpulan minoriti, serta
murid kurang upaya fizikal dan pembelajaran, akan menerima bantuan
tambahan supaya mereka juga menikmati peluang yang sama seperti murid
lain.
Dari segi penguasaan bahasa, Kementerian akan melaksanakan ANJAKAN YANG KEDUA
(2), iaitu memastikan setiap murid profisien dalam Bahasa Malaysia dan
Bahasa Inggeris. Menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan ini, Kementerian
akan memperluas program LINUS supaya meliputi literasi Bahasa Inggeris.
Kementerian juga akan meningkatkan kemahiran bahasa Inggeris guru dengan
memastikan semua 70,000 orang guru bahasa Inggeris lulus Cambridge
Placement Test (CPT) dalam tempoh dua tahun.
Guru yang tidak mencapai standard yang ditetapkan akan mengikuti latihan intensif untuk meningkatkan kemahiran. Di samping itu, murid akan diberi pendedahan yang lebih meluas terhadap bahasa Inggeris dengan memperkenalkan modul Sastera Inggeris yang akan diwajibkan kepada murid sekolah menengah.
Bagi memantapkan penguasaan bahasa
Malaysia di semua jenis sekolah, kementerian akan memperkenalkan
kurikulum Bahasa Malaysia yang standard pada peringkat rendah,
merangkumi sekolah jenis kebangsaan. Dengan pelaksanaan kurikulum
standard ini, Kelas Peralihan di sekolah menengah kebangsan akan
dimansuhkan mulai tahun 2017. Selain itu, Kementerian juga akan
menggalakkan setiap murid mempelajari bahasa tambahan seperti bahasa
Cina, bahasa Tamil atau bahasa Arab serta bahasa ibunda atau bahasa
antarabangsa yang lain.
Seterusnya, Kementerian akan melaksanakan ANJAKAN YANG KETIGA
(3), iaitu melahirkan rakyat Malaysia yang menghayati nilai. Dalam
mengharungi dunia yang semakin mencabar hari ini, anak-anak kita perlu
memiliki nilai-nilai murni sejagat yang selaras dengan tuntutan moral,
etika dan agama. Pada masa yang sama, sebagai warganegara, anak-anak
kita juga perlu sentiasa dipupuk dengan semangat patriotisme untuk
membina satu identiti nasional yang kukuh dan jitu.
Untuk itu, menerusi Pelan Pembangunan
Pendidikan ini, kementerian akan memperkukuhkan Pendidikan Islam,
Pendidikan Moral dan elemen Sivik menjelang tahun 2017. Pedagogi untuk
Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral juga disemak semula untuk
melibatkan lebih banyak aktiviti main peranan (role play), simulasi,
perbincangan, dan tugasan dalam kumpulan kecil. Selanjutnya, Kurikulum
Pendidikan Islam akan melibatkan tumpuan terhadap pemahaman nilai teras
dan falsafah Islam serta agama-agama yang lain.
Bagi murid bukan Islam pula, Pendidikan Moral akan mengandungi pemahaman tentang nilai teras semua agama utama di Malaysia. Kementerian juga akan mengkaji kemungkinan murid Islam dan bukan Islam berkongsi kelas yang sama apabila nilai-nilai sejagat diajar. Program-program yang sedia ada seperti Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) dan program 1Murid 1Sukan 1Kelab dan 1Badan Berunifom juga akan diteruskan.
Segala langkah yang akan diambil ini
tidak akan berhasil tanpa sokongan dan dokongan guru-guru yang
berkualiti. Sehubungan dengan itu, kementerian akan melakukan ANJAKAN YANG KEEMPAT
(4), iaitu meningkatkan kualiti guru dan menjadikan profesion keguruan
sebagai profesion pilihan. Anjakan ini adalah selari dengan pandangan
sebahagian besar peserta Dialog Nasional Pendidikan Negara yang mahukan
kualiti guru diberikan keutamaan.
Untuk itu, kementerian akan mengetatkan
syarat kemasukan ke latihan perguruan dengan menyasarkan hanya 30%
teratas daripada kelompok pelajar cemerlang menyertai profesion
keguruan. Selain itu, bagi guru-guru yang sudah berada dalam sistem,
kementerian akan mengukuhkan pembangunan kerjaya berterusan guru-guru
dengan melaksanakan program pembangunan kerjaya secara in-situ di
sekolah.
Untuk menyokong peningkatan prestasi
guru, kementerian akan menyediakan laluan kerjaya guru berasaskan
kompetensi dan prestasi. Dalam hal ini, guru berprestasi tinggi akan
berpeluang menikmati kenaikan pangkat bermula daripada gred DG41
sehingga DG54 dalam tempoh yang lebih singkat, iaitu kurang daripada 25
tahun yang merupakan purata tempoh kenaikan pangkat secara time-based
yang baru.
Selain itu, kementerian akan memastikan
guru memberikan tumpuan kepada fungsi teras pengajaran dengan
mengurangkan beban pentadbiran; memperluaskan laluan kerjaya guru untuk
peranan kepimpinan, pakar pengajaran dan pakar bidang khusus; dan
mempertimbangkan untuk mewujudkan satu skim pensijilan yang dikaitkan
dengan penguasaan kecekapan guru.
Seterusnya, ANJAKAN YANG KELIMA
(5) ialah memastikan pemimpin berprestasi tinggi ditempatkan disetiap
sekolah. Untuk itu, kKementerian akan memperkenalkan kriteria pemilihan
pengetua dan guru besar berasaskan kompetensi, serta memperkukuhkan
proses perancangan penggantian pengetua dan guru besar mulai tahun 2013.
Selain itu, kementerian juga akan menempatkan pengetua atau guru besar
cemerlang di sekolah-sekolah luar bandar dan di kawasan-kawasan miskin
bandar bertujuan untuk meningkatkan prestasi sekolah.
Kementerian juga akan menyediakan
sokongan yang secukupnya kepada pengetua dan guru besar untuk membantu
mereka meningkatkan prestasi sekolah. Untuk itu, Kementerian akan
melakukan ANJAKAN YANG KEENAM (6), iaitu mengupaya JPN,
PPD dan sekolah untuk menyediakan penyelesaian khusus berasaskan
keperluan. Kementerian akan menempatkan Jurulatih Mata Pelajaran Khusus
Program Penambahbaikan Sekolah (School Improvement Specialist Coaches
atau SISC+) dan Jurulatih Pengetua Rakan Penambahbaikan Sekolah (School
Improvement Partners atau SiPartners) secara sepenuh masa di Pejabat
Pelajaran Daerah. Para jurulatih ini bertanggungjawab memberikan
bimbingan secara terus kepada sekolah berprestasi rendah, iaitu sekolah
yang berada dalam band 5, 6 dan 7. Satu projek rintis akan dilaksanakan
di negeri Sabah dan Kedah mulai Januari 2013, manakala pelaksanaan
seluruh negara akan bermula Januari 2014.
Selain itu, untuk meningkatkan autonomi
sekolah, kementerian akan membenarkan fleksibiliti pengoperasian ke atas
pengagihan bajet dan pelaksanaan kurikulum, dimulai dengan Sekolah
Berprestasi Tinggi, Sekolah Kluster, Sekolah Amanah dan sekolah-sekolah
yang menunjukkan peningkatan prestasi yang ketara. Dari semasa ke
semasa, lebih banyak sekolah akan diberikan hak membuat keputusan dan
akauntabiliti berdasarkan prestasi yang ditunjukkan.
Dalam dunia yang pantas berkembang hari
ini, teknologi maklumat dan komunikasi atau ICT mempunyai potensi yang
besar untuk memacu proses pembelajaran. Untuk itu, kementerian akan
melaksanakan ANJAKAN YANG KETUJUH (7), iaitu
memanfaatkan (ICT) bagi meningkatkan kualiti pembelajaran. Kementerian
akan meningkatkan akses internet dan persekitaran pembelajaran maya
melalui pelaksanaan 1BestariNet bagi kesemua 10,000 buah sekolah yang
dijangka selesai sepenuhnya pada penghujung tahun 2013. Dalam masa yang
terdekat, semua murid akan mempunyai akses kepada rangkaian 4G di
sekolah yang akan menyediakan landasan untuk pelaksanaan pembelajaran
secara interaktif.
Seterusnya, kementerian akan melaksanakan ANJAKAN YANG KELAPAN
(8), iaitu mentransformasi kebolehan dan keupayaan penyampaian
Kementerian Pelajaran. Struktur organisasi kementerian akan disusun
semula agar fungsi bahagian tidak bertindih. Lebih ramai tenaga kerja
akan ditempatkan di PPD, iaitu agensi utama dalam rantaian penyampaian
pendidikan. Dalam konteks ini, PPD bukan lagi semata-mata berperanan
sebagai saluran penghubung antara kementerian dan sekolah, tetapi
sebagai agensi penting yang terlibat secara langsung dalam memantau dan
mengurus prestasi sekolah. Kementerian akan mengekalkan fungsinya dalam
perancangan makro dan penggubalan dasar, manakala JPN akan memberikan
tumpuan kepada penyelarasan dan penyampaian segala perancangan, serta
menjadi penghubung yang penting antara penggubal dasar dan pelaksana di
peringkat bawah.
Menyedari hakikat bahawa proses
pembelajaran tidak hanya berlaku di sekolah, tetapi turut merangkumi
aktiviti-aktiviti di luar sekolah yang melibatkan penyertaan ibu bapa,
komuniti dan sektor swasta, kementerian akan melaksanakan ANJAKAN YANG KESEMBILAN
(9), iaitu memperluaskan jalinan kerjasama dengan ibu bapa, komuniti,
dan sektor swasta. Kementerian akan memperluaskan capaian Sistem
Analisis Peperiksaan Sekolah (SAPS), untuk membolehkan ibu bapa memantau
kemajuan anak mereka di sekolah secara atas talian. Perhatian khusus
akan diberikan kepada usaha membantu ibu bapa luar bandar dan miskin
bandar meningkatkan prestasi anak masing-masing.
Selain itu, pihak kementerian akan
mendapatkan maklum balas daripada setiap PIBG mengenai pelaksanaan
kurikulum setempat dan kualiti guru mulai tahun 2016. Untuk menggalakkan
pelibatan sektor swasta dan komuniti, kementerian akan menambah
bilangan Sekolah Amanah kepada 500 buah menjelang tahun 2025 dengan
turut melibatkan kumpulan alumni dan pertubuhan bukan kerajaan yang
berpotensi sebagai penganjur.
Saban tahun, sekitar 16% daripada bajet
negara diperuntukkan kepada Kementerian Pelajaran, dan jumlah ini
merupakan yang terbesar antara semua kementerian. Bajet pendidikan di
Malaysia, sebagai sebahagian daripada KDNK juga merupakan satu daripada
yang tertinggi di dunia.
Untuk itu, kementerian akan melaksanakan ANJAKAN YANG KESEPULUH
(10), iaitu memaksimumkan pulangan bagi setiap ringgit yang
dibelanjakan. Kementerian akan mengaitkan setiap program yang
dilaksanakan dengan keberhasilan murid yang hendak dicapai dan
merasionalisasi program berimpak rendah pada setiap tahun, seiring
dengan anjakan pengurusan kewangan negara ke arah Bajet Berasaskan
Keberhasilan (Outcome-Based Budgeting). Kementerian juga akan
meningkatkan kecekapan dalam mengurus perbelanjaan dengan memberikan
keutamaan kepada bidang paling kritikal seperti peningkatan kemahiran
dan latihan guru.
ANJAKAN YANG KESEBELAS
(11), iaitu yang terakhir, ialah meningkatkan ketelusan akauntabiliti
awam. Sepanjang pelaksanaan Pelan ini, semua pihak berkepentingan akan
mempunyai akses yang tetap dan telus berkenaan tahap kemajuan setiap
inisiatif yang dilaksanakan oleh kementerian. Laporan Tahunan mengenai
kemajuan sasaran dan inisiatif Pelan ini akan diterbitkan untuk tatapan
umum mulai tahun 2013. Kementerian juga akan melaksanakan semakan
komprehensif pada tahun 2015, 2020 dan 2025 bagi memastikan pelan ini
sesuai dengan sifat dinamis dan perkembangan semasa sektor pendidikan.
Pelan Pembangunan Pendidikan ini adalah
satu dokumen komprehensif yang bukan sahaja mengenal pasti bidang-bidang
keutamaan dan meletakkan sasaran-sasaran yang hendak dicapai, malah
turut menyenaraikan inisiatif-inisiatif penting yang akan dilaksanakan,
melakar pelan tindakan yang jelas, dan menetapkan jangkamasa tertentu
untuk mencapai setiap sasaran yang ditetapkan.
Misalnya, rakyat boleh menjangkakan
dalam Gelombang Pertama pelaksanaan, iaitu dari tahun 2013 hingga 2015,
akan berlaku peningkatan dalam kemahiran guru, kualiti pengajaran,
keupayaan pegawai di peringkat negeri dan daerah, dan mutu kepimpinan
sekolah.
Dalam Gelombang Kedua pula, iaitu dari
tahun 2016 hingga 2020, akan berlaku perubahan struktur sistem
pendidikan negara yang menyaksikan kesemua 410,00 guru dan 10,000
pengetua atau guru besar menikmati pakej kerjaya baharu;
bahagian-bahagian di Kementerian distruktur semula untuk menjajarkan
dengan peranan yang direncanakan menerusi Gelombang Pertama; dan
kurikulum sekolah rendah dan menengah disemak semula untuk memastikan ia
sejajar dengan perkembangan sosial dan ekonomi dunia hari ini.
Manakala dalam Gelombang Ketiga, iaitu
dari tahun 2021 hingga 2025, semua sekolah, guru dan pengetua atau guru
besar akan menunjukkan prestasi melebihi standard minimum. Kementerian
akan memberikan tumpuan kepada usaha meningkatkan keluwesan operasi dan
menganjakkan kebanyakan sekolah kepada model pengurusan berasaskan
sekolah, serta membangunkan model kejayaan sekolah berdasarkan inovasi
dalam pengajaran.
Keseluruhan anjakan ini akan memberikan
impak yang besar kepada peningkatan kualiti pendidikan negara. Sekiranya
kesemua 11 anjakan yang terkandung dalam Pelan ini dilaksanakan dengan
cekap dan berkesan, untuk tempoh 13 tahun akan datang kita akan
menyaksikan satu anjakan besar dalam sistem pendidikan negara, iaitu
daripada pendidikan yang berfokuskan akses kepada pendidikan yang
berfokuskan kualiti.
Untuk itu, sepanjang tempoh pelaksanaan,
pegawai-pegawai di Kementerian, khususnya kumpulan pengurusan
tertinggi, mempunyai KPI masing-masing yang dikaitkan dengan pencapaian
setiap sasaran yang ditetapkan. KPI ini akan disebarkan ke peringkat
bawah, dari Kementerian hingga ke sekolah, untuk memastikan matlamat
yang hendak dicapai adalah tekal dan selari.
Selain itu, Kementerian akan mewujudkan
Unit Penyampkian Pendidikan (Education Delivery Unit) untuk memacu
pelaksanaan Pelan ini. Unit ini akan bertanggungjawab memantau kemajuan,
menyelesaikan isu pelaksanaan, menguruskan komunikasi dengan pihak
berkepentingan dan mengumpul maklumbalas secara berterusan. Pegawai yang
ditempatkan di unit ini akan terdiri daripada mereka yang berbakat
besar dan berpengalaman luas dalam mengurus transformasi, baik dalam
sektor awam mahupun sektor swasta.
Dalam konteks ini, Pelan ini agak
berbeza daripada laporan-laporan pendidikan yang terdahulu. Di samping
menghuraikan hasrat dan sasaran yang hendak dicapai, Pelan ini lengkap
dengan kaedah pelaksanaan, dan strategi penyampaian yang
jelas.Kementerian dimaklumkan oleh Panel Penilai Bebas Antarabangsa
bahawa kajian semula sistem pendidikan kita telah dilakukan dengan amat
teliti, dan kualiti analisanya menepati standard antarabangsa.
Inilah julung-julung kali dalam sejarah
negara kita, satu pelan pembangunan pendidikan untuk rakyat disediakan
hasil rundingan awam secara telus dan terbuka. Sukacita saya maklumkan
di sini bahawa sehingga kini, lebih 90 peratus pandangan yang
dikemukakan oleh orang ramai menerusi siri jelajah Dialog Nasional
Pendidikan Negara telah diambilkira dalam Laporan Awal Pelan Pembangunan
Pendidikan yang saya bentangkan pada hari ini.
Selepas ini, kementerian akan mengadakan
Hari Terbuka untuk membolehkan masyarakat umum meneliti kandungan Pelan
ini, mendapatkan penjelasan dan mengemukakan maklum balas lanjut kepada
kerajaan. Saya percaya, apabila pelan ini dibentangkan kepada Kabinet
kelak dan dimuktamadkan pada bulan Disember nanti, apa yang terhasil
adalah satu pelan pendidikan yang sarat dengan cita-cita dan harapan
rakyat. Inilah tanda kesungguhan Kerajaan Barisan Nasional bawah
kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, untuk
menzahirkan matlamat Dasar Transformasi Nasional yang berasaskan
jangkaan dan pengharapan rakyat.-13/9/2012
*Petikan ucapan Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika membentangkan laporan awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 baru-baru ini.
Terima kasih Cikgu...